Wednesday, September 21, 2011

Tatabahasa Melayu tinggi, mungkinkah?

Bila nak beradu ni? Lewat jam satu pagi. Aish, kenapa lain benar yang aku taipkan ini? Dalam usaha menggunakan bahasa Melayu tinggikah? Hem, biar saya buat agakan...

Mungkin.
Mungkin juga.
Mungkin pasti.

Hajat dihati hendak beradu jam sebelas. Jam sebelas merangkak ke jam dua belas. Lalu dianjak lagi. Dan lagi. Dan lagi. Dan lagi.

Saya agak terkesan apabila membaca satu blog baru dijumpai (hasil-hasil pautan dan klikkan). Cuba baca ini. Ia mampu membuatkan saya gelak seperti menonton Johnny English Reborn. Sungguh!

**********************************************************************************


Sejurus sesi perkenalanku bersama Ustaz AshrafTuan Ali Atan dan Cik Marianti semasa bengkel anjuran Puan Ainon petang semalam, aku bercekal hati menjalankan ujikaji, bagi melihat sejauh mana keberkesanan beberapa teori Tatabahasa Melayu Tinggi yang telah kami pelajari.
“Keropok lekor, dik?”
Seorang perempuan bertudung litup yang berpangkat makcik, dengan dialek bahasa yang berbunyi seperti dari tanah seberang, cuba menegurku tatkala aku mendekati gerai tepi jalannya yang tidak jauh dari tempat perbengkelan kami. Tuan-tuan pasti terkejut dengan reaksiku pada pertanyaan pendeknya itu.
“Puan, jika saya tidak menyukarkan Puan saat ini, bolehkah saya mengambil tahu, berapa batangkah keropok lekor yang saya peroleh untuk satu ringgit?”
Ayat itu memang benar-benar yang aku ucapkan dan tidak menokok tambah apa-apa perkataan lain. Mulanya, aku agak gugup juga saat itu kerana dikhuatiri aku bakal dilabel gila, atau seorang sasterawan negara pula oleh perempuan tua itu.
“Seringgit lima, dik.”
Beliau menjawab singkat, sambil bibirnya melipat senyum yang bergetar, seakan sedang menahan akan letupnya sebuah hilai tawa saja lagaknya.
“Kalau begitu, sudikah kiranya Puan membungkuskan keropok lekor yang panas dan senilai dengan satu ringgit untuk saya?”
Kemudian, perempuan tua itu menunaikan permintaanku, dengan menyepit satu demi satu keropok lekor yang siap digoreng, lalu dimasukkan ke dalam beg plastik kecil bersama sebungkus sambal buatannya sendiri. Akhirnya, akad jual beli kuucap, dalam masa yang sama kuhulurkan sekeping not berwarna biru.
“Saya beli ya, Puan.”
Selang 15 minit,
“Oleh disebabkan struktur keropok lekor yang Puan goreng ini lembut di dalam dan rangup di luar, ditambah kepekatan sambal yang sekata lagi sedap, saya mahu lagi keropok lekor yang bernilai seringgit, bolehkah Puan?”
Kini, senyum si perempuan tua itu tak dapat kuungkapkan lagi dengan perkataan. Menambahkan lagi kehairananku, pergerakan tangannya kali ini semakin lincah menyepit beberapa batang keropok lekor tanpa menghitung jumlah yang telah dimasukkan ke dalam beg plastik baru. Andai dikira-kira, hampir berjumlah dua ringgit yang wajar kubayar padanya.
“Errr.. Puan.. “
Belum sempat kujahit kata-kata, perempuan tua itu memancung ucapanku dengan laju;
“Tak apa. Saya belanja.”
Peristiwa ini sememangnya takkan sekali dapat kulupakan biar sesaat pun dari pita memori ini. Penggunaan Tatabahasa Melayu Tinggi memberi dampak yang aku sendiri tak terjangkakan.
Terbukti, penggunaan bahasaku tadi telah mengundang sikap prejudis perempuan tua itu terhadapku. Mungkin dia menganggap aku ini ‘siapa-siapa’, walhal aku cumalah manusia ‘biasa-biasa’ yang mungkin sama saja taraf dengannya.
Puan Ainon menasihatkan lagi kepada kami, agar membacakan bahan-bahan cerita yang ditulis dengan Elaborate Code kepada anak-anak sebelum mereka melelapkan mata, agar nanti bisa memuat turun seberapa luas perbendaharaan kata di samping melentur sikap, kerana penggunaan kelas bahasa tertentu itu berupaya mencerminkan tahap peribadi dan sikap individu.
Persoalannya sekarang, mestikah aku harus bertutur begitu dengan semua manusia tanpa mengira di kelas manakah bahasa yang  mereka aplikasikan sehari-hari? Sedangkan penggunaan bahasa kelas pertengahan mampu memandaikan bangsa.
Mari kita fikirkan bersama. Selepas ini, jangan pula kalian mentertawakan aku dan mengejek aku ‘budak ayat skema’, ya? ;>

**********************************************************************************

Bagaimana? Mampu membuat anda ketawa. Paling kurang menyengih bagai kerang busuk. Ya, macam itu. haha

Ayatnya jelas, ada flow. Maaf perbendaharaan kata saya kurang. Saya sedang berusaha...dengan gigih, dengan izinNya.

Saya kira sudah lewat. Esok saya ada pagi yang awal. Doa saya supaya dapat menyempurnakan tugas-tugas yang dirancang, inshaAllah.

No comments:

Post a Comment